Rabu, 12 Oktober 2011

BUJET 2012 dimanakah KITA???..


Saban tahun sebelum menjelang tahun yang seterusnya rakyat yang cakna kepada perkembangan ekonomi negara serta pelaksanaan janji setia kerajaan yang memerintah akan menantikan pembentangan bajet bagi melihat sejauh mana parti pemerintah menunaikan tuntutan mereka.

Setelah 53 bajet, 10 Rancangan Malaysia, 3 Rangka Rancangan Jangka Panjang yang maisng-masing berpayung dalam Dasar Ekonomi Baru, antara 1971-1990 Dasar Pembangunan Nasional meliputi 1990-2000 dan Dasar Wawasan Nasional yang menunjangi 2001-2010 kini bajet 2012 kini telah dibentangkan untuk menjadi akta pada 7 oktober 2011.

Berpaksikan kepada tema “Bajet membela rakyat, Mensejahtera negara” pasti akan tercetus suatu harapan yang positif di setiap minda masyarakat yang bertaraf warganegara Malaysia sama ada mereka adalah petani di bendang, peniaga, pekerja professional, nelayan malahan rakyat berstatus mahasiswa, akan sejauh mana mereka mendapat manfaat dan kebajikan mereka akan terbela.

Berdasarkan angka yang besar iaitu sebanyak 232.8 billion ringgit Malaysia bagi pelaksanaan bajet ini pastinya impak yang berkesan diharapkan bagi kebajikan keseluruhan rakyat. Jika dilihat daripada prospek mahasiswa antara keutamaan yang ingin ditekankan adalah sejauh mana tuntutan-tuntutan mereka memberi makna dalam peruntukan kewangan induk ini antaranya, pemansuhan AUKU yang dilihat ianya sering menyekat pergerakan mahasiswa dan membantutkan kematangan mahasiswa. Selain itu pemansuhan 1% dalam pinjaman PTPTN,pemberian PTPTN mengikut zon, kebebasan bersuara dan kebebasan berakademik, autonomi kampus dan sebagainya.

Tarikan kepada mahasiswa hanyalah berupa peruntukan baucar sebanyak RM200 kepada semua pelajar warganegara Malaysia di IPTA dan IPTS tempatan, matrikulasi dan pelajar tingkatan enam di seluruh Malaysia yang diharapkan memberi manfaat kepada 1.3 juta pelajar yang secara totalnya bernilai 260 juta ringgit. Implimentasi baucar ini diharap sampai ke akar umbi tanpa sebarang diskriminasi dan birokrasi di kampus.

Hakikatnya respon-respon positif berupa keuntungan material daripada perspektif ekonomi didengar berkaitan bajet ini misalnya Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, keseluruhan Bajet 2012 mencerminkan inisiatif kerajaan untuk mencapai keseimbangan dalam menguruskan isu berkaitan rakyat, kitaran dan struktur. Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Bank-Bank di Malaysia menambah, persekitaran ekonomi global semasa yang mencabar dan risiko terhadap permintaan luaran memerlukan dasar makro ekonomi domestik untuk menyokong permintaan dalaman, terutamanya perbelanjaan pengguna dan perniagaan. Selain pandangan ahli-ahli karporat lain misalnya Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Mohd. Najib Abdullah berkata, beliau optimistik Bajet 2012 akan membantu Malaysia menghadapi kelembapan permintaan luar.

Namun nilai yang lebih bererti tanpa aspek material semata-mata ialah sejauh mana peranan kerajaan dalam memperuntukkan wang bagi membantu menangani masalah sosial rakyat tak terkecuali belia iaitu golongan mahasiswa. Pandangan NGO misalnya pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudahatus Sakinah, Pertubuhan Darul Islah Malaysia (Perkid Malaysia) dan Rumah Puteri Arafiah iaitu NGO Islam yang aktif dalam kerja-kerja mencegah dan merawat golongan yang terjebak dalam masalah sosial seperti hamil luar nikah, penyalahgunaan dadah dan keganasan rumah tangga.kena diambil berat. Penyesalan mereka utarakan antaranya luahan Pengerusi Lembaga Pengarah Induk (LPI) Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah yang meminta usaha komprehensif dan intensif berupa kewangan bagi membantu usaha amal maaruf nahi mungkar dalam mengatasi masalah sosial dan gejala maksiat yang semakin menyubur dan membimbangkan.

Sesungguhnya sebagai mahasiswa dan individu muslim khususnya dan manusia yang inginkan keamanan jasmani dan rohani penekanan kepada aspek kemakmuran rohani dan sosial menjadi intipati utama bagi memberi hasil yang positif dalam menikmati pembangunan ekonomi. Berdasarkan kepada firman Allah SWT ;
“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan “.

(Surah Al-Qasas ayat 77)
Maka, Bajet 2012 bukan sahaja bajet secara fizikal tapi diharapkan membawa makna yang tersirat bagi memenuhi tuntutan rohani dan kemanusiaan yang menjurus kepada perintah Allah SWT sesuai sebagai taraf khalifah Allah SWT yang memerintah bumi.