Isnin, 9 Januari 2012

PERJUANGAN DENGAN ILMU DAN DARAH

KATA-KATA HIKMAH HUBAIB

"Tekunlah beramal dan bermujahadah, cintailah ilmu pengetahuan dan cintailah kehidupan akhirat, jadikan diri kamu sebagai pengembara yang sentiasa dahaga dengan cinta Allah, rahmat Allah dan pengampunan Allah. Pandanglah dunia ini bagaikan tempat persinggahan kamu ketika turunnya hujan, apabila berhentinya hujan kamu kembali berjalan menuju ke destinasi asalmu. Sakitilah nafsu mu kerana ia adalah tunggangan syaitan, jika ia lemah maka syaitan akan lemah kerana tiada tunggangan untuk digunakan bagi merosakkan mu. Bakarlah ia dengan api zikir, lemahkan ia dengan kurangkan tidur dan makan, bebankan muatan atasnya dengan ibadat yang khusyu'.

Janganlah kamu terikut manusia yang hatinya buta dengan akhirat, mereka mencari kebahagiaan dengan menuruti hawa nafsu sedangkan kamu carilah kebahagiaan dengan menentang hawa nafsu. Hiburan kamu adalah ujian Allah, kesengsaraan kamu adalah kehidupan yang tidak teruji hawa nafsu. Tahanlah lidahmu dari dusta dan umpatan kerana ia menghancurkan amalan kamu sekelip mata bagaikan letupan yang menghancurkan gunung. Berhati-hatilah dalam perjalanan ini, hanya mereka yang berilmu dan beramal serta mengalirkan air mata darah akan tersenyum di alam yang kekal abadi."

"Hakikat kebahagiaan, kejayaan dan ketenangan tidak berada di dunia. Ia berada di langit. Ia adalah anugerah Tuhan kepada hamba-hamba yang dikasihi-Nya. Harta, pangkat,keluarga, kekuatan,kebijaksanaan dan lain-lain hanyalah pagar-pagar untuk memantapakan kebahagiaan. Justeru itu, walaupun ramai manusia yang memiliki segala-galanya di dunia ini tetapi kebahagiaan tidak mereka miliki. Dan berapa ramai manusia yang tidak memiliki apa-apa tetapi hidup mereka disinari kebahagiaan."

"Hidup ini adalah perjuangan. Jadikan dunia ini sebagai sahabat kamu untuk mendapatkan syurga. Janganlah kamu meninggalkannya. Kuasailah pelbagai bidang dimana dengannya kamu dapat memakmurkan bumi. Hanya di tangan orang-orang soleh, dunia ini akan menghentikan tangisannya."


Rabu, 4 Januari 2012

LEMBARAN 2012

Bismillahirahmanirahim..


Membuka lembaran baru 2012 dengan lafaz indah kalimah Allah yang agung. Kisah hidup ku pada tahun ini sangat menarik dan penuh dengan perkara diluar jangkaan.

Muka surat hidup ku tahun ini dimulakan dengan pembukaan tirai 2012 di Dataran Merdeka kuala lumpur bersama-sama sahabat yang lain mengorbankan hari-hari genting menuju peperiksaan semester akhir di UKM yang akan bemula pada 3 januari 2012. Berkumpul dan menghabiskan masa semalaman di Dataran Merdeka bukan bermakna meraikan hari baru dengan kebingitan konsert dan muzik melalaikan tapi datang atas dasar kesedaran untuk berdakwah dan melihat realiti umat yang semakin jauh dari landasan ajaranNya. Alhamdulilah mampu mencipta satu kumpulan yang "kecil" dalam ribuan pengunjung yang sedang asyik dalam muzik yang memekak. Alunan "asmaul husna", takbir, selawat dan doa mohon keampunan bersaing dengan bunyi bising nyanyian sebagai tanda protes lembut atas apa yang berlaku apabila meraikan tradisi "countdown" di Malaysia.

Esoknya 1.1.2012 meneruskan langkah kaki ke UPSI pedih hati mendengar perkhabaran sahabat yang dibelasah oleh pihak polis berikutan perhimpunan aman yang dianjurkan di hadapan UPSI rentetan kes Adam Adli dan tuntutan kebebebasan akademik yang diangap enteng oleh pihak kerajaan. Bukan hendak membangkang tapi menuntut kebenaran dan hak yang tak dimiliki. Berhimpun depan balai polis dan menginfakkan seharian masa di tahun baru untuk menyokong sahabat ini merupakan kerja yang "tidak masuk akal" bagi mereka yang tidak memahami. Namun, langkah kaki teguh dan yakin kerana ada tawakal kepadaNya.

Menghadapi hari-hari menuju peperiksaan akhir di tahun akhir pengajian dengan malam hari dipenuhi dengan tuntutan-tuntutan tugas sebagai pendokong gerakan menjadikan hari ku tidak seperti yang lain. Hanya Allah tempat paling kukuh untuk menjadikan diri terus thabat dan istiqomah. Peperiksaan di dewan kuliah juga tuntutan perjuangan ku namun bila aku ditempatkan dalam kewajipan ini aku kena menjadi lebih kuat dan doa sahaja yang mampu menolongku dan senjata terampuh. Firman Allah swt dalam Surah Muhammad (7) :

"Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu.

Langkah ku terus ku atur menuju hari-hari ku cuma hajat ku biarlah aku meninggal dalam keadaan bermaruah dengan menunaikan tuntutan yang Allah syariatkan dalam keadaan menjadi mujahidah yang Allah redha. Restu dan doa ibu dan ayah mengiringiku yang menjadi penguat dikala lemah. Moga lembaran 2012 membuka sejarah baru untuk menambahkan amalku dan mematangkan diriku.

"Dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."