Khamis, 26 Julai 2012

POLIGAMI DAN KETINGGIAN DARJAT WANITA


 
Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Markaz al-Mar’ah fi al-Hayat al-Islamiyyah: “Sesuatu yang amat mendukacitakan apabila sebahagian daripada penyeru-penyeru kepada sistem Barat yang ada di tanahair Arab dan umat Islam mengambil kesempatan apa yang berlaku pada sesetengah muslimin yang menyeleweng. Lalu mereka ini bangkit menyuarakan agar ditutup pintu poligami sama sekali. Mereka ini pagi dan petangnya hanya membicarakan mengenai keburukan poligami. Padahal dalam masa yang sama mereka mendiamkan diri seperti diamnya orang di dalam kubur mengenai keburukan zina, yang dengan dukacitanya diharuskan oleh sistem perundangan manusia yang menghukum negara-negara umat Islam hari ini."
(m.s 31 cetakan Maktabah Wahbah, Mesir).

Sungguh tiada hukum, malah ajaran dan suruhan hatta larangan daripada Allah SWT yang membawa keburukan. Menjadi kewajipan bagi setiap muslim beriktikad bahawa hukum-hakam syarak yang diturunkan Allah S.W.T bukan untuk kepentingan zatNya yang agung, kerana Dia Maha Suci daripada bergantung kepada makhluk. Segala apa yang diturunkanNya adalah li maslahah al-`Ibad iaitu untuk kemaslahatan atau kepentingan hamba-hambaNya.

Hakikatnya, hukum pelaksanaan poligami mempunyai seribu satu hikmah, sungguhpun kedudukannya merupakan keharusan yang dibolehkan (jaiz) namun dari hukum harus ini akan bertukar menjadi hukum lain misalnya wajib, sunat, makruh dan haram. Ia adalah hukum yang mendatang, bukan hukum asal. Contohnya, jika seseorang itu sememangnya sudah tahu (dan pada realitinya begitu) tidak berkemampuan untuk berlaku adil terhadap isteri-isterinya nanti, maka ketika itu haram hukumnya berpoligami. Contoh lain, jika seseorang itu mampunyai nafsu seks yang kuat, sehingga jika dia tidak berpoligami kemungkinan untuk terjebak ke lembah perzinaan adalah besar. Maka ketika itu dia wajib berpoligami (setelah memenuhi syarat-syaratnya).

Ketahuilah hikmah berpoligami itu antaranya, saya sebagai hamba yang dhaif dapati :

1.           Wanita itu mempunyai tiga halangan iaitu haid, nifas dan keadaan yang belum betul-betul sihat selepas melahirkan. Jadi, dalam keadaan begini, Islam mengharuskan berpoligami sampai empat orang isteri dengan tujuan kalau tiap-tiap isteri ada yang haid, ada yang nifas dan ada pula yang masih sakit sehabis nifas, maka masih ada satu lagi yang bebas. Dengan demikian dapatlah menyelamatkan suami daripada terjerumus ke jurang perzinaan pada saat-saat isteri berhalangan.

2.           Untuk mendapatkan keturunan kerana isteri mandul tidak dapat melahirkan anak. Atau kerana isteri sudah terlalu tua dan sudah putus haidnya. Dalam pemilihan bakal isteri, Islam menyukai wanita yang dapat melahirkan keturunan daripada yang mandul, walaupun sifat-sifat jasmaniahnya lebih menarik. Ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya yang bermaksud, "Perempuan hitam yang mempunyai benih lebih baik dari wanita-wanita cantik yang mandul."

3.           Kaum lelaki itu mempunyai daya kemampuan seks yang berbeza-beza. Andaikan suami mempunyai daya seks yang luar biasa, sedangkan isteri tidak dapat mengimbanginya atau sakit dan masa haidnya terlalu lama, maka poligami adalah langkah terbaik untuk memelihara serta menyelamatkan suami dari jatuh ke lembah perzinaan.

4.           Dengan poligami diharapkan agar dapat terhindar dari terjadinya perceraian kerana isteri mandul, sakit atau sudah terlalu tua.

5.           Akibat peperangan yang biasanya melibatkan kaum lelaki, maka jumlah wanita akan lebih banyak baik mereka itu masih gadis mahupun janda.Dengan adanya poligami diharapkan janda-janda akibat peperangan itu dapat diselamatkan serta diberi perlindungan yang sempurna. Begitu juga untuk menghindari banyaknya jumlah gadis-gadis tua yang tidak dapat merasakan hidup berumahtangga dan berkeluarga.

6.           Untuk memberi perlindungan dan penghormatan kepada kaum wanita dari keganasan serta kebuasan nafsu kaum lelaki yang tidak dapat menahannya. Andaikan poligami tidak diperbolehkan, kaum lelaki akan menggunakan wanita sebagai alat untuk kesenangannya semata-mata tanpa dibebani satu tanggungjawab. Akibatnya kaum wanita akan menjadi simpanan atau pelacur yang tidak dilayan sebagai isteri serta tidak pula mendapatkan hak perlindungan untuk dirinya.

7.           Untuk menghindari kelahiran anak-anak yang tidak sah agar keturunan masyarakat terpelihara dan tidak disia-siakan kehidupannya. Dengan demikian dapat pula menjamin sifat kemuliaan umat Islam. Anak luar nikah mempunyai hukum yang berbeza dari anak yang dari pernikahan yang sah. Jika gejala ini dibiarkan berleluasa dan tidak ditangani dengan hati-hati ia akan bakal menghancurkan umat Islam dan merosakkan fungsi pernikahan itu sendiri.

8.    Banyaknya kaum telaki yang berhijrah pergi merantau untuk mencari rezeki. Di perantauan, mereka mungkin kesepian baik ketika sihat mahu pun sakit. Maka dalam saat-saat begini lebih baik berpoligami daripada si suami mengadakan hubungan secara tidak sah dengan wanita lain.
Sumber : Fathoni Akbar 
Namun, apakah syarat-syarat dan hukum berpoligami. Adakah cukup material sudah memadai?...
BERSAMBUNG...