Selasa, 7 Ogos 2012

KONFLIK KEHARUSAN POLIGAMI

Bismillahirahmanirahim....



Begitu tertarik dan masih dalam proses pembelajaran dan sangat-sangat dhaif dalam menguasai kitab-kitab ilmu Allah swt berkaitan dengan poligami. Cuma berharap agar entry ini terlindung dengan kekuasaan Allah swt daripada nada emosi kewanitaan yang tidak terbimbing. Malah jika dipihak lelaki janganlah poligami ini dibincangkan dengan pandangan sekumpulan lelaki yang takutkan isteri mereka. Hakikatnya, hukum-hakam syarak memenuhi tuntutan akal yang waras dan logik yang kukuh sekalipun mungkin emosi membantahnya. 

Bak kata bijak pandai  "Jika kita melihat kepada seseorang doktor yang menyuntik seorang bayi dengan jarumnya sehingga menyebabkan bayi tersebut menangis, jika fikiran kita tidak dipenuhi pengetahuan tentang kebaikan tindakan doktor tersebut, kita tentu akan membantah dan menganggap doktor seorang yang zalim, menganiayai bayi tersebut sehingga dia kesakitan dan menangis. Namun apabila pengetahuan kita cukup kita tidak lagi melihat kepada tangisan bayi tetapi kepada kebaikan yang akan diperolehinya. Demikian juga poligami".

Apabila perbahasan poligami berdasarkan pada firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa’ ayat 129: (maksudnya) Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Kemudian surah yang sama ayat 30 : (maksudnya): “Jika kamu takut tidak berlaku adil maka hanya seorang isteri”.

Kenyataan al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H) dalam tafsirnya Al-Jami li Ahkam al-Quran: “Dalam ayat tersebut Allah memberitahu ketidakmampuan melakukan keadilan di antara isteri dalam kecenderungan tabii seperti cinta dan hubungan seks dan perasaan dalam hati. Maka Allah mensifatkan hal manusia bahawa mereka dengan sifat semulajadinya tidak dapat mengawal kecenderungan hati mereka kepada sesuatu perkara atau sebaliknya...kemudian Allah melarang manusia dengan firmanNya: (maksudnya) “janganlah kamu cenderung dengan melampau” yakni jangan kamu sengaja menyakiti, sebaliknya hendak sama rata dalam pembagian dan nafkah, kerana ini perkara yang seseorang mampu melakukannya." (5/407, cetakan Dar al-Fikr, Beirut).

Ayat 129 Surah al-Nisa’ itu sebenarnya membicarakan tentang keadilan mutlak yang tidak mungkin dapat diberikan oleh insan. Keadilan mutlak membabitkan semua aspek; perasaan kasih sayang yang ada di dalam hati, cara hubungan seks dan segalanya. Ini semua bukan dalam batas kemampuan insan. Sehinggakan insan tidak mampu menjadikan kadar kasih sayangnya terhadap anak-anaknya sama, demikian jugalah terhadap isteri-isterinya. Bagi anak yang lebih manja dan pandai mengambil hatinya tentu perasaan cintanya lebih. Demikian juga isteri. Namun apa yang dituntut ialah agar persoalan akhlak pergaulan dan sikap, persoalan kebendaan hendaklah dalam timbangan keadilan dan kesaksamaan kerana itu dalam batas kemampuan insan. Tidak boleh dijadi perasaan cinta di dalam hati membawa kepada ketidakadilan dalam tindakan. Oleh itu sambungan ayat itu menyebut: (maksudnya) oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.


Baginda S.A.W menyebut dalam hadith: Daripada `Aisyah .a: Bahawa Nabi S.A.W membahagikan hak di antara isteri baginda dengan adil. Baginda bersabda: Ya Allah inilah pembahagianku apa yang miliki, jangan Engkau salahku dalam apa yang aku tidak miliki. (Riwayat al-Nasai, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah. Al-Hakim (meninggal 405H) mensahihkannya dalam Al-Mustadrak 2/554, cetakan Dar al-Ma’rifah, Beirut dan disetujui oleh al-Zahabi (meninggal 748H).

Kata Abu Daud ketika meriwayat hadith ini maksud apa yang aku tidak miliki ialah hati, iaitu cinta yang lebih dan kecenderungan hati. (lihat Al-`Azim al-Abadi, `Aun al-Ma’bud, 6/121, cetakan Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, Beirut).

Maka kecenderungan hati yang menyebabkan tidak sama dalam kasih sayang tidak dianggap salah di sisi Allah selagi mana tidak berlakunya ketidak adilan dalam tindakan. Inilah maksudnya ayat tersebut. 


Imam Ibnu Katsir menjelaskan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri lebih cenderung terhadap (mencintai) ‘Aisyah berbanding isteri-isterinya yang lain, berdasarkan beberapa hadis riwayat Imam Ahmad dan Ahli Sunan yang lain [Tafsir Al-Quran Al-Azim, I/696]. Meskipun demikian, ia tidak mengakibatkan hak-hak isteri yang lain terabai. Keadilan yang diwajibkan kepada seseorang suami adalah bersikap seimbang di antara para isterinya sesuai dengan kemampuan yang ada pada dirinya. Ini termasuklah di dalam hal giliran bermalam, memberi makan, pakaian dan tempat tinggal dan lain-lain yang berkaitan. Jika pihak suami gagal berlaku adil di dalam hal-hal ini, maka mereka boleh dihukum.

Penafsiran tentang tindakan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam yang melarang Saidina Ali ra. untuk berpoligami bukanlah bermakna Rasulullah tidak menggalakkan atau jauh sekali melarang poligami. Hadis tersebut mestilah dilihat secara menyeluruh dengan mengaitkan dengan hadis-hadis yang lain. Menafsirkan hanya sebahagian daripada hadis tersebut, akan menyebabkan seseorang itu terjerumus kepada kesalahan kefahaman yang serius. Memang benar Rasulullah telah melarang Saidina Ali ra. untuk ‘menduakan’ puteri Rasulullah. Berikut adalah riwayatnya : Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam amat marah ketika mendengar puteri beliau, Fatimah binti Muhammad, akan ‘dimadukan’ oleh Ali bin Abi Thalib ra. Ketika mendengar berita tersebut, Nabi terus masuk ke masjid lalu menaiki mimbar dan berseru: ‘Beberapa keluarga Bani Hasyim bin al-Mughirah (kerabat Abu Jahal) meminta izin kepadaku untuk mengahwinkan puteri mereka (anak Abu Jahal) dengan Ali bin Abi Thalib. Ketahuilah, aku tidak akan mengizinkan, sekali lagi aku tidak akan mengizinkan. Sungguh tidak aku izinkan, kecuali Ali bin Abi Thalib menceraikan puteriku terlebih dahulu, Fatimah adalah sebahagian dari diriku, apa yang mengganggu dirinya mengganggu diriku, dan apa yang menyakiti hatinya menyakiti hatiku” [Jâmi' al-Ushûl, juz XII, 162, Hadits 9026].

Berdasarkan penerangan Imam Nawawi, perkara utama yang hendak disampaikan di dalam riwayat ini bukanlah berkaitan poligami. Ia berkaitan hasrat Saidina Ali ra. untuk memadukan isterinya, Fatimah binti Muhammad bersama puteri Abu Jahal. Kemarahan Rasulullah bukanlah berkaitan perbuatan poligami yang hendak dilakukan oleh Ali ra, tetapi ia berkaitan mempersatukan puteri Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam dengan puteri musuh Allah iaitu Abu Jahal [rujuk Syarah Hadis Muslim Li Nawawi]. Di dalam sebuah hadis lain, perkara ini telah diterangkan lagi yang mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam sendiri telah menegaskan bahawa baginda tidak mengharamkan apa yang halal dan menghalalkan yang haram. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda, ".....Dan sungguh aku tidak mengharamkan yang halal dan tidak pula menghalalkan yang haram, akan tetapi, demi Allah, jangan sekali-kali bersatu puteri Utusan Allah dengan puteri musuh Allah." [HR. Bukhari]

Oleh itu, kita perlu memahami bahawa larangan di dalam Hadis di atas adalah larangan untuk memadukan antara puteri Rasul Allah dengan puteri musuh Allah, bukannya larangan untuk berpoligami. Tambahan lagi, larangan ini bersifat khusus kepada Ahli al-Bait Rasulullah sahaja dan berlaku di dalam kes ini sahaja, berdasarkan lafaz yang jelas disebut oleh Rasulullah. Dengan kata lain, hadis ini langsung tidak ada kena mengena atau lebih tepat bukan larangan berpoligami oleh Rasulullah kepada umatnya. Ini boleh diperjelaskan lagi dengan ramai di kalangan sahabat seperti Abu Bakar dan Umar sendiri adalah mereka yang mengamalkan poligami, yang tidak pernah dicegah oleh Rasulullah.

Waulahuahlam... ( Terus terang saya juga tengah mencari dan sangat-sangat perlukan perkongsian maklumat daripada sahabat-sahabat yang lebih arif ) Jazakallah..
Rujukan :
1. Al-Mughni al-Muhtaj, Syeikh Muhamad al-Khatib al-Syarbini
2. Feqh al-Sunnah, Syed Sabiq
3. Al-Feqh al-Islami Wa Adillatuh, Dr Wahabh al-Zuhaili
4. Dr Yusof al-Qardhawi, al-Halal Wal Haram Fil Islam





 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan